Written by Mukhriz Mahathir
Saya bersyukur kehadrat Allah SWT, terharu dan berterima kasih kepada para perwakilan Pemuda UMNO bahagian-bahagian yang telah bersidang dan mencalonkan saya untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Sesungguhnya kepercayaan yang diberikan oleh Saudara-Saudara semua tidak akan saya hampakan. Tak cukup tapak tangan, nyiru saya tadahkan ucapan terima kasih saya di atas sokongan Saudara-Saudara semua.
Saya berasa sangat terharu dengan jumlah pencalonan yang telah diberikan sehingga melayakkan saya bertanding dalam jangkawaktu hanya tiga hari pertama Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dijalankan. Ini membuktikan bahawa Pemuda sudah berani dan ingin menuntut perubahan yang akan menyelamatkan parti kesayangan kita. Oleh itu, saya harap mesej yang telah Saudara-Saudara sampaikan melalui gelombang perubahan ini disahut baik dan difahami oleh semua pihak, termasuk pihak pembangkang, bahawa sayap penting dalam UMNO ini sudah bersedia untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap UMNO.
Saya juga berharap Pemuda UMNO di bahagian-bahagian yang belum bersidang akan terus mencalonkan saya supaya momentum Perubahan, Pemulihan dan Pemerkasaan ini dapat disemarakkan lagi.Saya berdoa suara akarumbi yang memberikan pencalonan kepada saya tempoh hari di Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian-bahagian dapat juga diterjemahkan sebagai undi untuk saya di bulan Mac 2009 kelak.
Saya percaya perwakilan-perwakilan ke Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di PWTC nanti akan melaksanakan amanah mereka dengan penuh bertanggungjawab untuk benar-benar mewakili suara pemuda dan mengundi mengikut kehendak perwakilan akarumbi sewaktu Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian-bahagian mereka.
Selamat bersidang. Berani Berubah!
Mukhriz Mahathir
No comments:
Post a Comment