Wednesday, October 29, 2008

RANTAIAN GANAS HARGA MINYAK

Jika Persatuan Pemborong Binaan malaysia (MBAM) bersuara agar harga bahan binaan diselaraskan (turun harga) selaras dengan harga minyak yang sudah turun, maka siapa sebenarnya yang TIDAK MAHU / SUKAR untuk menurunkan harga binaan tersebut? JIKA TIDAK MAHU / SUKAR untuk menurunkan harga barang oleh peniaga, siapa pula yang mesti bertanggungjawab untuk mengawal dan memantau turun/naik harga barang? Sudah tentu dalam pengeluaran barang binaan, pihak yang terlibat adalah Pembekal bahan mentah untuk pengilangan produk bahan binaan, pengilang produk bahan binaan, pemborong, peruncit dan pengguna.
Sudah tentu Barang binaan yang telah siap akan melalui rangkaian pemasaran sebelum dapat dijual kepada pengguna. Faktor kos pengangkutan mempengaruhi harga bahan binaan iaitu kos pengangkutan Pembekal Bahan Mentah dan kos Pengangkutan Pemasaran Produk Bahan Binaan.
Saya yakin setiap satu bahan mentah untuk membuat Sesuatu Bahan Binaan, mengalami kenaikan harga kerana harga bahan api Petrol dan diesel yang naik. Semasa proses pemasaran, kos pengangkutan juga naik untuk menghantar bahan binaan ini. Oleh itu Pengilang telah menaikkan harga bahan Binaan berdasarkan fakta tersebut. Akibatnya harga bahan binaan telah naik sebanyak 30% - 40%, akibat harga minyak yang naik.
Pengguna yang terdiri kontraktor dan pemaju (seperti hartanah dan perumahan) yang menggunakan setiap bahan binaan, perlu juga menaikkan harga produknya / perkhidmatan kerana kos bahan binaan yang naik mendadak disamping mengalami kenaikan kos dalaman syarikat itu sendiri (seperti pengangkutan dll akibat harga minyak naik). Akhirnya rakyat sebagai pengguna akhir, menghadapi Kenaikan Harga Barangan yang tinggi. Bayangkan jika bahan binaan naik 30%-40% dan Pengguna Bahan Binaan pula menaikkan 20%, MAKA PENGGUNA AKHIR (RAKYAT) akan menanggung semua kos berjumlah 50% - 60%. Inilah RANTAIAN GANAS HARGA MINYAK yang menyebabkan rakyat pada tahun 2008 terjerumus dalam LINGKARAN GANAS KEMISKINAN.
Kesan kenaikkan harga bahan binaan ini, menyebabkan Kenaikan Kos Taraf Hidup Rakyat. Akibatnya bagi seseorang yang berpendapatan RM1000.00 boleh terjerumus dalam kemiskinan. Harus diingat bahawa Garis kemiskinan Pendapatan Isi rumah Semenanjung Malaysia ialahRM660.00, Sabah RM780.00 dan sarawak RM880.00. Ini kerana kuasa beli dengan RM1000.00 tidaklah sama seperti kuasa beli RM1000.00 semasa harga barangan dan perkhidmatan yang rendah tahun 2007.
Siapakah yang harus menangani isu ini? Patutkah agensi seperti Jabatan kebajikan masyarakat, Zakat dan PBT yang harus bertanggungjawab apabila rakyat menjadi Miskin disebabkan harga barang yang naik tidak terkawal? Atau pun KPDNHEP yang paling layak untuk bertanggungjawab, kerana kedhaifan hidup rakyat dan kemiskinan yang berlaku juga berpunca dari TIDAK TERKAWALNYA kenaikan harga barang.
Menteri yang bertanggungjawab dalam KPDNHEP adalah Dato Shahrir. Maka Dato Shahrir tidak boleh bercakap bahawa kementeriannya tidak ada kuasa dalam menurunkan harga barang dan perkhidmatan yang dinaikkan oleh pengguna, kecuali bagi barang terkawal. Jika benarlah bukan Kementerian Dato Shahrir dalam mengawal (turun/naik) harga barang, MAKA MENTERI DAN KEMENTERIAN MANA pula yang bertanggungjawab? Dato Shahrir dalam Utusan malaysia 29.10.08 dipetik Beliau menegaskan, kementerian tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mendesak pihak pengeluar, pembekal dan pemborong menurunkan harga barangan keperluan. Adakah apabila Datuk Shahrir tersepit dalam polimik harga barang, Pengguna pula yang akhirnya dipersalahkan? Janganlah pula Datuk Shahrir memberi alasan, pengguna yang salah kerana jika pengguna tak beli barang yang mahal maka peniaga akan turunkan harga. Adakah cukup dengan saranan Datuk supaya rakyat makan UBI KAYU!


MBAM Saran Dilakukan Pelarasan Ke Atas Harga Bahan Binaan

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM), menyarankan pihak-pihak berkaitan untuk menyelaras harga bahan binaan dan harga lain yang berkaitan, susulan penurunan harga minyak mentah dunia baru-baru ini.Presidennya, Ng Kee Leen berkata badan itu berharap bahawa pengeluar, firma perdagangan dan pengedar serta Tenaga National Bhd, akan menyelaraskan harga mengikut kesesuaian."Manfaat pelarasan ini akan dirasai sehingga ke peringkat bawahan dan para kontraktor dapat menikmati harga lebih baik berikutan daripada perkembangan ini," katanya di dalam satu kenyataan di sini, Selasa."Pelarasan itu juga akan membantu pelanggan, termasuklah kerajaan dalam berdepan dengan tekanan inflasi dan cabaran ekonomi masa sekarang," katanya.Ng berkata harga minyak mentah dunia yang sekarang ini berada di bawah paras AS$65 se tong (AS$1=RM3.579), telah menyebabkan harga petrol tempatan diselaras ke bawah sebanyak dua kali.Bagaimana pun, produk pracampur dan kuari telah tidak disemak semula dengan sewajarnya manakala kadar penghantaran kekal sama meskipun kos bahan api yang lebih rendah, katanya.Katanya apabila harga bahan api meningkat pada Jun, ia telah mengakibatkan peningkatan harga hampir kesemua bahan binaan di antara 15 hingga 30 peratus.Harga diesel yang telah meningkat juga menyebabkan pengangkutan dan ke semua kos pengoperasian mesin akan meningkat dengan signifikan antara 30 peratus dan 40 peratus.Rantaian kejadian yang kritikal telah menyebabkan kontraktor tidak berupaya untuk menyerap tekanan harga bahan api.-- BERNAMA

No comments: