Wednesday, January 7, 2009

SIME DARBY: TUKAR NIAGA JANTUNG KE LIMPA

Lambang logo ini hasil dari cetusan Rocky Bru sebagai menyokong kempen Selamatkan Institut Jantung Negara (IJN). Blog ini sentiasa mendokong kepada Idea dan kempen 'Demi Kebenaran' untuk Manfaat Rakyat Kebanyakan. Sime Darby 2 bulan yang lalu sudah hampir pasti mengambilalih menerusi penswastaan. Penulis tetap dengan pendirian bahawa penswastaan telah acapkali memberi peluang perniagaan yang menguntungkan kepada syarikat yang mengambilalih dan akhirnya rakyat yang akan menanggung kosnya. Penulis mempertahankan, IJN seharusnya tidak diswastakan dan biarlah ianya menjadi suatu entiti korporat kerajaan untuk kebajikan rakyat.


Suara rakyat hendaklah sentiasa menjadi bahan rujukan kerajaan dan EPU dalam merancang untuk menjual atau melelong entiti kerajaan khususnya yang berkaitan dengan kebajikan rakyat. Bukankah menswastakan IJN bererti kerajaan sedang memperdagangkan nyawa rakyat Malaysia? Atau lebih jelas sedang berjual beli jantung orang Malaysia? Orang yang kaya raya atau suku kaya atau setengah kaya, sudah pasti tidak bimbang dengan penswastaan IJN kerana lumrahnya mereka menganggap, hospital yang mahal adalah memberi perkhidmatan yang baik. Maka jika IJN itu mahal bayarannya dibawah cengkaman Sime Darby, mereka akan tetap ke sana kerana IJN ada kelasnya tersendiri. Tetapi bagaimana pula rakyat yang berpendapatan rendah? Yang bekerja di PBT-PBT, pejabat daerah, polis, tentera, jabatan kerajaan persekutuan dan negeri, pekerja bank, nelayan, petani dan lain-lain - adakah mereka akan mendapat bayaran yang agak murah? Harus diingat pekerja kerajaan yang mendapat bantuan rawatan di IJN dengan kos yang ditanggung oleh majikan hanya sekitar RM15,000.00 dalam satu-satu kes. Jika kosnya lebih dari itu, kos itu harus ditanggung oleh pesakit itu sendiri. Berapakah kos bagi satu-satu rawatan jantung? Sekitar RM20,000 - RM30,000.00 mengikut kes pembedahan dan rawatan.


Harapan rakyat, pembatalan penswastaan ini bukanlah bersempena PRK P36 Kuala Trengganu. Dan yang lebih utama EPU dan 'tangan-tangan hitam' dibelakang EPU, tidak lagi cuba menswastakan IJN. Biarlah tragedi Hospital Pantai yang terlepas kepada Singapura menjadi teladan kepada kita. Selepas ini, Tun Musa Hitam tidak perlu lagi untuk mengatakan bahawa Board of Director Sime Darby adalah telus, hebat dan bebas dari sebarang penyalahgunaan kuasa atau ada hubungkait dengan mana-mana pihak.
Jika benar Sime Darby sebuah syarikat GLC kerajaan hendak membantu rakyat Malaysia, bina dan buatlah hospital jantung yang baru di pelusuk tanahair ini. Buatlah di Iskandar Malaysia kerana Tun Musa adalah salah seorang CEO pembangunan Iskandar Malaysia. Kedah,Trengganu, Kelantan, Perak, Sarawak, Sabah, Perlis, Pahang dan Malaka tiada lagi Hospital Jantung. Tubuhlah Hospital Jantung yang baru dan jika takut bersaing dengan IJN, tubuh sahaja Hospital Limpa!. Bukankah bila tiada persaingan maka perniagaan limpa akan menjadi pasaran monopoli? Sime Darby boleh untung banyak jika berniaga Limpa pula. Syabas rakyat Malaysia yang prihatin dan Selamat Maju Jaya doktor-doktor IJN.

----------------------------------------------------


Sime Darby batal ambil alih IJN
KUALA LUMPUR 6 Jan. - Sime Darby Bhd. (Sime Darby), sebuah konglomerat tempatan yang sebelum ini berhasrat mengambil alih Institut Jantung Negara (IJN) sehingga menimbulkan bantahan ramai, hari ini memutuskan untuk tidak melaksanakan cadangan itu.
Syarikat milik kerajaan itu dalam kenyataannya di sini berkata, pihaknya telah mencapai satu persefahaman selepas mengambil kira sentimen orang ramai dan juga maklum balas yang diterimanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan penangguhan terhadap rancangan Sime Darby untuk memulakan perundingan dengan Menteri Kewangan Diperbadankan bagi membeli 51 peratus kepentingan dalam IJN.
IJN diurus oleh IJN Holdings Sdn. Bhd., dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid dalam kenyataan yang sama berkata, pihaknya menghormati kehendak rakyat negara ini supaya IJN kekal dalam bentuk yang sedia ada.
Beliau berkata, ''Kami percaya pelaburan berterusan dalam penjagaan kardiovaskular penting kerana ia adalah punca utama pesakit dimasukkan ke hospital dan menjadi salah satu punca utama kematian di Malaysia.
''Perkongsian dengan IJN sekiranya terlaksana akan menguntungkan kami, IJN, pemegang kepentingan dan juga orang ramai, dan bersandarkan hakikat itu kami telah mengemukakan cadangan pembelian ekuiti itu kepada kerajaan.
''Tetapi, kami sebagai sebuah syarikat yang mana pemegang sahamnya mewakili lebih 10 juta rakyat negara ini, menghormati hasrat mereka supaya (status) IJN dikekalkan seperti mana adanya,'' kata beliau lagi.
Sime Darby menjelaskan, pada Ogos lalu, pihaknya telah memaklumkan kepada kerajaan tentang hasratnya memiliki kepentingan IJN kerana melihat kepada faedah meluaskan skop dan skala operasi Sime Darby Healthcare, sebuah cabang operasi penjagaan kesihatan Sime Darby dan IJN.
Jelasnya, semasa memajukan cadangan itu, Sime Darby menyedari peranan IJN dalam menyediakan rawatan perubatan yang cemerlang pada harga berpatutan, terutama kepada golongan pesara, berpendapatan rendah dan miskin.
Katanya, cadangan pemilikan IJN adalah memastikan rakyat tidak dipinggirkan daripada menerima rawatan kesihatan berkelas dunia dan juga menjamin mereka yang berkenaan termasuk juga golongan pendapatan rendah dan sederhana terus menikmati perkhidmatan seperti mana sebelumnya tanpa ada perubahan.
Berdasarkan cadangan dan jaminan itu, kerajaan memberikan 'lampu hijau' kepada Sime Darby untuk melaksanakan kajian berhemat ke atas IJN dan menyediakan pelan perniagaan bersepadu yang perlu diperakui lebih dahulu oleh Kementerian Kewangan sebelum Sime Darby dibenarkan menguasai kepentingan berkenaan.
Ahmad Zubir kekal optimis dengan prospek sektor penjagaan kesihatan dan akan terus mencari peluang untuk mengembangkan sektor berkenaan, sekali gus menjadikan Sime Darby sebagai penyedia penjagaan kesihatan standard di rantau ini

No comments: