Saya memang gemar membaca akhbar yang diterbitkan secara harian, mingguan atau bulanan. Saya tidak memilih-milih akhbar mana yang patut dibaca atau akhbar mana yang patut di boikot. Utusan, Berita, NST, Metro, Sinar, Harakah, wasilah, Siasah, Fikrah, Agendadaily, The Sun, The Star, Keadilan dan lainnya semua saya baca. Cumanya otak kita perlulah menjadi 'jaring' ilmu yang cekap dalam menapis maklumat. Bukankah membaca itu menambahkan gedung ilmu otak kita...
Baru ini saya membaca Kisah 'Sepak Bakul' Peniaga berulang di Alor Star tulisan Zulkifli Yahaya dalam ruangan Kolumnis Nota Utara, mukasurat F4, keluaran 22-25 Disember 2008. Yang menarik perhatian saya, 99% tulisan beliau menyentuh dan mengkritik Majlis Bandaraya Alor Star dalam menjalankan tugas-tugasnya. Mengkritik bukanlah suatu yang dilarang, tetapi mengkritik dengan tanpa usul periksa, berprejudis dan tidak mempunyai fakta adalah seperti 'membogelkan diri beliau sendiri' sebagai penulis Harakah. Bagi memudahkan suffer, saya taip semula sebahagian rencana beliau seperti dibawah. Saya perlu membogelkan rencana beliau ini, kerana ianya penuh dengan penyalahtafsiran beliau dan mewujudkan sangka buruk kepada MBAS dan warga kerjanya. Antara kenyataan dalam tulisan beliau seperti berikut:
1. " Warga Bandaraya Alor Star akhir-akhir ini dikejutkan dengan pelbagai tindakan oleh pihak Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) yang memberi imej bahawa kerajaan baru Kedah terlalu tegas dalam tindakan dan tidak bertimbang rasa terhadap rakyat."
Pada masa kerajaan BN memerintah Kedah, MBAS juga bertindak tegas dalam hal ehwal berkaitan penguatkuasakan peraturan undang-undang. Tidakkah Sdr Zulkifli ingat, MBAS ketika itu dilabel Kejam seperti Israel oleh ADUN PAS semasa Sidang Dewan Undangan Negeri 2006 kerana tindakan penguatkuasaan yang dijalankan oleh MBAS? Jika diimbau pada tahun 2006 itu, adakah MBAS juga cuba menjatuhkan imej Kerajaan BN? Tidak timbul sekarang ini soal menjatuhkan imej kerajaan baru Kedah, sebaliknya tindakan MBAS ini konsisten dan dilihat untuk 'mentertibkan' para peniaga supaya bandaraya ini bukan lagi seperti bandar koboi yang boleh dibina gerai sesuka hati ditepi-tepi jalan dan sebagainya. Mentertibkan peniaga bukan bermakna MBAS tidak memelihara keprihatinan peniaga tersebut, tetapi langkah penguatkuasaan MBAS itu telah memelihara kesejahteraan peniaga yang patuh kepada peradaban berniaga, pengguna jalanraya dan rakyat jelata. Peniaga yang tidak bersalah, tidak perlu takut pada penguatkuasaan undang-undang MBAS!
2. Ia memerlukan kebijaksanaan bertindak serta memilih keutamaan. Jadi timbul persoalan, dalam masyarakat yang begitu rupa apakah tindakan penguatkuasaan 'ala bush' perlu dilaksanakan?
Jika pada tahun 2006 pemimpin-pemimpin PAS sendiri menggelarkan MBAS adalah seperti Israel, kali ini pula kata-kata 'penguatkuasaan ala bush', menggambarkan Tuduhan Kotor kepada MBAS sentiasa dalam lingkaran otak kalangan PAS sendiri. Sebagai contoh, Apakah membina gerai tanpa lesen di tepi Jalan gangsa tidak seberat kesalahan membina gerai tanpa lesen di Jalan Langgar? Apakah Zulkifli beranggapan, keutamaan tindakan adalah gerai Jalan langgar daripada Gerai Jalan Gangsa kerana jalan langgar itu jalan yang sibuk lalulintasnya? Apakah justifikasi 'yang lebih utama' atau 'yang lebih salah' supaya tindakan penguatkuasaan hanya boleh dilakukan berpilih-pilih? Apakah pula prasangka peniaga kepada MBAS dan kerajaan Kedah apabila tindakan diambil pada sesetengah tempat atau sesetengah peniaga, walhal darjah kesalahan yang dilakukan adalah serupa? Apakah mungkin keutamaan Sdr Zulkifli, membiarkan sahaja peniaga tersebut? Cuba beliau renung sejenak....
3. Penghuni bandar raya merungut isu sampah yang tidak selesai sejak bertahun. Sewaktu kerajaan BN, Hj Mahfuz Omar mengetui rombongan membawa bungkusan sampah ke pejabat MBAS. Sekarang giliran Pemuda MCA pula berbuat demikian, namun isu sampah tidak juga dapat diatasi.
Apabila rombongan Hj Mahfuz omar membawa bungkusan sampah ke bilik Datuk Bandar pada tahun 2007, isu sampah bukanlah bertitik mula dari rombongan Mahfuz. Saya berpendapat, tindakan Hj Mahfuz pada tahun 2007, adalah untuk Menyerang BN dengan memperalatkan MBAS kerana menerusi platfom ini, Hj Mahfuz boleh meraih publisiti setelah publisiti beliau 'hilang' di kawasan Pokok Sena, selepas tewas dalam PRU 11. Dalam blog ini
Sepak terajang PAS, MBAS dapat Taik jelas menunjukkan bahawa PAS yang diwakili Hj Mahfuz hanya bijak bercakap tetapi tidak menyumbang kepada penduduk yang diwakilinya. Jika tahun 2007 PAS melihat isu sampah adalah kelemahan kerajaan BN Kedah, 2008 adalah kelemahan siapa? Sdr Zulkifli tidak boleh hanya menunjuk telunjuk kesalahan kepada MBAS, kerana MBAS hanyalah organisasi pelaksana yang sentiasa tertakluk kepada Kerajaan Negeri. Sdr Zulkifli juga harus tahu bahawa isu sampah ini ada hubungkait dengan kekangan kewangan MBAS dan berkait rapat dengan Pengambilalihan Pengurusan Kutipan Sampah seluruh negara oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal. Apakah MBAS perlu dirugikan dengan membeli lori-lori dan peralatan baru dan kemudiannya di serahkan kepada syarikat E-Idaman? Isu sampah bukan hanya berlaku di Alor Star bahkan diseluruh PBT Negeri Kedah dan menjangkau di PBT-PBT seluruh negara termasuk Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Selangor. Bahkan dalam hal kewangan, kerajaan negeri Kedah sendiri pasti tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk membantu PBT Kedah dalam menguruskan kutipan sampah. Jalan pintas yang boleh menyelesaikan masalah rakyat kedah oleh Kerajaan Negeri Kedah dan PBT Kedah adalah menyegerakan pengambilalihan pengurusan kutipan sampah kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal.
Mengkritik isu sampah MBAS, sebenarnya seperti Sdr Zulkifli meludah Kerajaan negeri Kedah tika ini. Mengkritik tanpa meneliti fakta punca, sebab dan akibat hanya menggambarkan lemahnya beliau dalam membuat analisa fakta.
4. Ramai ibubapa yang merungut kerana terdapat cyber cafe yang beroperasi hingga ke subuh. Anak-anak muda bukan menghabiskan masa untuk mentelaah atau membuat carian ilmu di internet yang terdapat di cyber cafe, sebaliknya mereka leka bermain 'game'.
Apakah bermain itu salah atau membuka cyber cafe itu yang salah? Sudah tentu jika penguatkuasaan dijalankan keatas cyber cafe yang beroperasi melebihi had waktu, saya pasti Sdr Zulkifli akan mengatakan MBAS 'ala bush' sekali lagi!. Tahukah beliau jangka waktu cyber cafe boleh dibuka? Bukankah Permit Cyber Cafe dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan PBT hanya mengeluarkan lesen premis? Sdr Zulkifli harus mengkaji dahulu, apakah agensi kerajaan yang bertanggungjawab keatas permit, MBAS atau Pejabat Daerah? Saya pernah melihat cyber cafe di Jalan Sultanah bertulis Pusat Perkhidmatan Komputer MNY dibuka hingga 3 pagi. Adakah ianya salah atau perniagaan itu sama seperti perniagaan 7 Eleven 24 jam? Adakah Pusat Perkhidmatan Komputer MNY juga harus menerima hukuman bila kedainya dibuka hingga subuh? Adakah jika cyber cafe MNY itu ditutup pada 12 mlm, maka Sdr Zul pasti anak-anak muda akan mentelaah di rumah? Saya beranggapan, pusat itu tidak salah, anak muda yang bermain game itu juga tidak harus dipersalahkan, dan bagi saya itu lebih baik daripada anak muda meRempit dan melepak di tengah malam hingga ke subuh! Setidaknya masyarakat, ibubapa dan pihak berkuasa dapat 'mengenalpasti' dan 'memerhatikan' tindak tanduk anak-anak muda ini dengan mudah, memadai dengan memantau kawasan tempat cyber cafe. Adakah bermain game itu boleh membawa maut berbanding jika mereka terlibat dengan rempit, mencuri atau jenayah yang lain? Apabila kelonggaran MBAS dan Pejabat Daerah dalam melakukan penguatkuasaan ini juga menunjukkan bahawa agensi ini telah mengambilkira ' keutamaan' seperti yang dikatakan oleh beliau.
5. "Tapi yang diberi perhatian oleh MBAS bukannya sampah dan pusat hiburan yang dibuka hingga dinihari, sebaliknya mereka sibuk buat operasi mengangkut motorsikal yang tersalah parking, menyita kereta dan merobohkan gerai ditepi jalan yang dikatakan melanggar peraturan" ujar seorang penjaja yang marah gerainya dirobohkan penguatkuasa MBAS.
Di China bakisal pun di 'parking' dengan tertib. Hadapan Pekan Rabu...Masih ada pengguna cacamerba. Persepsi orang yang meniaga gerai-gerai ditepi jalan berbeza dengan persepsi kelompok masyarakat yang lain. Saya sebagai rakyat biasa, akan mengatakan MBAS 'lembab' dan 'korup' jika MBAS tidak mengambil tindakan keatas peniaga di tepi jalan yang tidak berlesen hingga mengganggu kesejahteraan pengguna jalanraya yang lain. Rakyat yang tidak berniaga akan 'marah' dengan tindakan berpilih-pilih MBAS. Bahkan persepsi penguatkuasa MBAS juga berbeza terhadap peniaga yang tidak berlesen atau secara haram. Kerajaan negeri juga mempunyai persepsi yang berbeza kepada MBAS dan peniaga. Maka apakah patut MBAS berpilih kasih kepada peniaga dan mengabaikan kehendak rakyat yang lain? Sampah dan pusat hiburan bukanlah perkara yang tidak diutamakan. Saya telah mengulas mengenai sampah. Mengenai pusat hiburan, saya rasa Sdr Zulkifli agak jumud ilmunya...Permit lesen hiburan adalah tanggungjawab Pejabat Daerah Kota Star. MBAS mengeluarkan lesen premis selepas Permit dikeluarkan oleh Pejabat Daerah. Penguatkuasaan operasi pusat hiburan adalah lebih dipertanggungjawabkan kepada Pejabat Daerah. Mungkin, MBAS boleh membantu secara bersama dalam melakukan operasi penguatkuasaan. Pada kebiasaanya penguatkuasaan undang-undang keatas pusat hiburan melibatkan agensi penguatkuasa yang lain, dimana undang-undang dibawah kawalan agensi tersebut. Sebab itulah kita selalu melihat Pusat Hiburan selalu mengalami operasi penguatkuasa sama ada dari MAIK, Jabatan Immigresen, Jabatan Kastam, Polis, Pejabat Daerah, AADK dan sebagainya. MBAS bukanlah agensi MUTLAK menguatkuasakan peraturan Pusat Hiburan kerana undang-undang Pusat Hiburan tidak ada dalam 'By Law' MBAS.
Apakah kehendak Sdr Zulkifli untuk melihat Bandar raya Alor Star menjadi haru biru dengan membiarkan peniaga sesuka hati dengan membina gerai makan di tepi jalan utama? Membiar orang ramai parking sesuka hati? Membiar peniaga membina gerai tepi jalan hingga membahayakan pelanggan gerai dan pengguna jalan raya yang lain?Apakah tidak cacat Bandaraya Alor Star dimata pelancung, seolah MBAS dan kerajaan negeri Kedah tidak mengawal dan menyusun peniaga-peniaga ini. Bukankah MBAS telah membuka 'pintunya' untuk menggalak dan memudah semudah-mudahnya kepada rakyat yang ingin berniaga dengan menyewa di gerai-gerai majlis yang kosong. Menurut ahli majlis yang saya temui berkata "sekarang ini sesiapa yang hendak berniaga dengan menyewa gerai/kedai milik majlis, boleh memohonnya dan kelulusan boleh dibuat dalam tempoh 2 minggu. Jika tempat tersebut kosong, maka pemohon itu mungkin boleh diberi tawaran secepat seminggu. Jika ramai yang memohon, temuduga akan dibuat dan temuduga ini dilakukan oleh majlis tiap-tiap hari, tiap-tiap minggu, tidak seperti dahulu sebulan sekali".
Umum telah tahu bahawa parking di Alor Star semakin mendesak. Dan jika dibiarkan oleh penguatkuasa MBAS, sudah pasti ada kalangan pengguna yang akan meletak kenderaan sesuka hati, dan mereka mahu parking tersebut 'free'. Apakah perasaan Sdr Zulkifli jika ada orang yang parking di tepi jalan yang menghalang lalulintas yang lain? Sebagai contoh, hadapan Maybank Jalan Sultan Badlisah sebelah Bulatan Maaf Hijrah. Jelas disitu tidak boleh parking, tapi saya lihat sentiasa kawasan itu penuh dengan pengguna yang parking, tidak mengira sama ada perbuatan mereka telah mengganggu laluan orang lain!. Bahkan saya lihat, ada pengguna yang berani parking di hadapan pagar pejabat MBAS Jalan Kolam Air, seolah-olah mencabar kesabaran MBAS!. Apakah ini juga harus dibiarkan? Bagi saya pengguna yang tidak reti bahasa dan adab berperaturan manusia yang bertamadun, bukan hanya perlu di sita keretanya tetapi pemandu itu sendiri kalau boleh disita supaya mereka boleh menghargai 'jasa pekerja MBAS' yang berpanas berhujan untuk menjaga kesejahteraan mereka juga. Hairan, sdr Zul lebih menjiwai peniaga dan kelompok rakyat tertentu tetapi tidak melihat dalam skop yang lebih besar. Tahukah sdr Zulkifli bahawa terdapat juga rakyat Kedah yang tidak mahu melihat bandaraya Alor Star jadi cacamerba penuh dengan peniaga yang lebih mementingkan tengkolok mereka dan mendesak supaya MBAS memperhebatkan penguatkuasaannya?
6.Seorang peniaga di Pasar Besar Alor Star terkejut melihat sangkar ikannya dipotong diwaktu malam (oleh penguatkuasa MBAS) kerana pembinaannya dikatakan melanggar peraturan. Sebelum itu tindakan merampas ikan dibuat oleh penguatkuasa terhadap peniaga yang tidak mematuhi peraturan. Malangnya lelongan dibuat MBAS juga dikatakan tidak mematuhi peraturan.
Perkara penguatkuasaan oleh MBAS sepatutnya tidak timbul langsung, jika peniaga Pasar besar peremba mengikut setiap peraturan yang ditetapkan. Mereka harus berasa bertuah kerana telah dapat menyewa di situ dan menambah rezeki, sungguhpun mereka jarang sekali untuk mengucapkan 'terima kasih' kepada MBAS. Saya berpendapat, tidak akan berlaku sebarang aduan dan rasa tidak puashati dikalangn peniaga disitu jika, mereka sepakat dan menjaga kebersihan Pasar Peremba dengan hati yang murni. Saya cadangkan Sdr Zulkifli melawat Pasar ini pada pagi Hari Jumaat? Motosikal diletakkan hingga ke pejalan kaki, kereta di parking dengan sesuka hati, antara peniaga sendiri berlawan-lawan untuk menjual ikan dan sayur mereka keluar dari meja pasar untuk menarik pembeli tanpa menghiraukan nasib peniaga yang lain. Bahkan mereka tidak saling bersama menjaga kebersihan pasar. Apakah itu harus di biarkan? Lihat sahaja tandas Pasar Besar Peremba...kotor. Apakah itu tugas MBAS atau seharusnya para peniaga disitu yang 'pakat-pakat' menjaga tandas tersebut.
7. Terdapat 13 orang ahli MBAS yang mewakili parti Pakatan Rakyat. takkan mereka tidak berbuat apa-apa? "kami sudah desak dalam mesyuarat supaya setiap operasi penguatkuasaan yang hendak dibuat perlulah dimaklumkan dan utamakan budi bicara tapi nampaknya mereka bertindak juga", ujar seorang ahli MBAS. Ahli majlis itu menyatakan sokongan terhdap tindakan penguatkuasaan dilakukan kepada peniaga-peniaga degil, misalnya yang tidak belesen dan enggan pula memohon lesen untuk berniaga walaupun diberi peringatan berkali-kali. "Tapi dalam kebanyakan kes yang berlaku akhir-akhir ini, MBAS nampaknya tidak melihat keutamaan dalam bertindak dan mengenepikan budi bicara sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai" ujurnya.
Saya ingin bertanya, berapa lama peniaga yang ditepi-tepi jalan ini dibiarkan berniaga dengan tanpa lesen? Adakah peniaga yang mendirikan gerai tanpa lesen ini adalah berpunca dari kurangnya tindakan penguatkuasaan MBAS? Atau ia berpunca dari terlalu banyaknya tolak ansur MBAS dalam menguatkuasakan undang-undang sehingga peniaga-peniaga ini begitu berani membina binaan baru gerai tanpa lesen atau berpunca disebabkan 'memang' perangai rakyat Alor Star suka berniaga di bawah pokok dan tepi jalan?. Jika ia berpunca dari MBAS, maka ahli majlis dan Sdr Zulkifli jangan lagi menuduh bahawa MBAS tidak menggunakan budi bicaranya. Jika ianya berpunca dari perangai peniaga sendiri, maka biarlah MBAS melaksanakan tugasnya untuk mentertibkan mereka. Mereka perlu ditertibkan dengan undang-undang setelah nasihat tidak diterima oleh mereka. Bukankah keadaan sekarang ini boleh dikatakan MBAS terlalu banyak berbudi bicara, hingga peniaga sudah tidak boleh dikawal? Pada hemat saya MBAS dan Kerajaan Negeri Kedah harus membuang budaya terlalu banyak budi bicara ini. Peniaga yang tidak berlesen akan tetap tidak berpuashati. Rakyat jelata yang lain pula berkehendakkan Alor Star menjadi tempat tinggal mereka yang Sejahtera. Kita perlu melihat majoriti rakyat dan bukan segelintir peniaga. Lagipun peniaga yang 'tertib' dan berlesen, tidak pernah lagi saya dengar dirobohkan gerainya!.
8. Terdapat cadangan supaya diadakan dialog antara MBAS dengan semua peniaga atau penjaja yang tidak mengikut peraturan ini. Biarkan ahli-ahli majlis dari parti politik menjadi moderatornya. Cari alternatif terbaik supaya mereka dapat terus cari makan dalam situasi peraturan tidak dicabuli.
Ahli majlis adalah mereka yang dilantik oleh kerajaan negeri Kedah bagi membantu MBAS dalam pembentukan dasar dan menjadi orang tengah kepada wakil penduduk. Bukankah sekarang MBAS telah melantik ahli majlis sebagai Pegwai Kawasan/ 'Area Officer' bagi setiap inci kawasan perkhidmatan MBAS. Pegawai kawasan bukan hanya berperanan sebagai moderator kepada sampah sahaja tetapi melibatkan keseluruhan dalam ruang lingkup perkhidmatan majlis seperti gerai, lesen, sampah, keselamatan, rumput, cukai dan lain-lain lagi. Mereka boleh mengusulkan dasar dan mengadakan perbincangan dengan pengurusan majlis. Saya amat bimbang, kata-kata ahli majlis tersebut adalah rekaan semata-mata Sdr Zulkifli kerana dari apa yang diterima maklumbalas dari ahli majlis yang lain, mereka sepakat bahawa banyak keputusan yang dibuat oleh MBAS dilakukan secara kolektif/bersama. Perbincangan dengan peniaga bagi menghalalkan kepada perkara yang tidak dihalalkan dalam peruntukan undang-undang, adalah menggambarkan Ahli Majlis bersikap talam dua muka. Apakah tulisan beliau ini mempunyai agenda tersembunyi, bertujuan menggambarkan bahawa ahli majlis MBAS yang dilantik oleh Kerajaan Negeri lemah dan tidak buat kerja? Atau beliau ada agenda peribadi tersembunyi? Tidak timbul isu MBAS menyekat dari orang 'cari makan'. Bagaimana jika penguatkuasa MBAS tidak mengambil tindakan penguatkuasaan? Apakah tidak nanti rakyat akan menuduh perkerja MBAS 'curi makan' atau makan wang haram? Saya bersetuju jika ahli majlis bergerak sebagai moderatornya, tetapi mereka haruslah profesional dan tidak berpilih kasih mengikut fahaman politik. Selama ini saya melihat MBAS bertindak tanpa memilih fahaman politik. Jika sangkaan saya silap, silalah suffer atau Sdr Zulkifli buktikan kerana saya mahu MBAS bertindak secara adil.
9. Dalam isu yang lain, terdapat projek besar yang dibuat dalam kawasan MBAS tetapi tidak diketahui oleh ahli MBAS sendiri. "Misalnya pengubahsuaian bulatan Jalan Kota yang melibatkan kos yang bukan sedikit. Kami difahamkan itu peruntukan pusat, bukan bidang kuasa ahli majlis. Kita berterima kasih kepada pusat jika benar projek itu ehsan mereka tapi apa salahnya ahli majlis diberitahu, sekurang kurangnya kita dapat beri penjelasan kepada pihak parti yang kita wakili dan kepada rakyat. Walaupun duit mereka (pusat) tapi projek dibuat atas tanah kita (MBAS) maka ahli majlis berhak untuk ambil tahu. Ramai bertanya mengenai projek tersebut tetapi saya sebagai ahli majlis sendiri tidak dapat beri penjelasan", ujar beliau kecewa.
Sukar untuk dijelaskan mengenai perkara ini...Apakah mungkin seorang pun ahli majlis tidak tahu projek di depan mata itu? Atau apakah mereka sengaja tidak ambil tahu? Atau adakah sememangnya Sdr Zulkifli sengaja untuk memburuk-burukkan ahli majlis MBAS dengan menggambarkan bahawa mereka yang dilantik 'seperti batang pisang' kerana semua tidak tahu? Mana mungkin Projek Majlis tidak didedahkan atau dibentangkan dalam menyuarat Majlis / Mesyuarat Jawatankuasa / Majlis Penuh yang dihadiri ahli Majlis? Sudah tentu ianya pernah dibentangkan dalam mana-mana mesyuarat teknikal atau penyelerasan projek atau setidak-tidaknya di bentangkan dalam pemantauan projek Jawatankausa Kemudahna Awam/Infrastruktur. Sungguhpun ianya peruntukan pusat, tetapi bukan menjadi dasar/prosedur PBT untuk menyembunyikan projek majlis daripada ahli majlis. Seseorang ahli majlis yang tidak mengetahui adanya sesuatu projek yang dijalankan oleh majlis, bukan bererti majlis tidak memberitahu atau mendedahkan kepada mereka, sebaliknya ia berlaku kerana mungkin ada ahli majlis yang first time dilantik 'kurang faham' terhadap perjalanan majlis sendiri.
Tidak adil untuk mengatakan bahawa majlis bertindak tidak memberitahu mereka dan menuduh warga MBAS mempunyai agenda politik tertentu, sedangkan ianya berlaku disebabkan kurang pemahaman prosedur tertentu. Lagi pun projek yang menggunakan peruntukan pusat, diatur seliakan oleh Bahagian Kerajaan Tempatan atau UPEN wisma Darul Aman. Mustahil jika kerajaan negeri Kedah hatta Uztaz Azizan sendiri tidak mengetahui projek itu. Sekali lagi saya menyeru supaya fakta Sdr Zulkifli cepat-cepat diperbetulkan. Kita malu jika MBAS yang merupakan kerajaan ketiga disalah tafsir sedangkan ianya dibawah bidang kuasa negeri. Tembakan beliau ini sebenarnya Tembakan kepada Kerajaan Negeri Kedah... Kandungan penulisan beliau itulah sebenarnya mengandungi unsur-unsur prejudis kepada Kerajaan Negeri Kedah.
-------------------------------------------------------
Kisah 'Sepak bakul' peniaga berulang di Alor StarZulkifli Yahaya, F4 22-25 Disember 2008Sewaktu awal pemerintahan kerajaan PAS Kelantan iaitu sekitar 90-an dahulu, tersebar satu kisah yang amat masyhur iaitu berkenaaan tindakan tegas segelintir penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu terhadap Peniaga Pasar Besar Siti Khadijah.Mereka dikatakan bertindak kasar, termasuk menyepak bakul sayur peniaga yang tidak mematuhi peraturan. Tindakan ini dikatakan langkah 'beragenda' untuk memberi imej buruk terhadap kerajaan PAS. namun atas kebijaksanaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, perkara tersebut dapat diperbetulkan. (Selanjutnya sila rujuk dalam Akhbar Harakah).