Thursday, November 27, 2008

"ITU SAYA TAK TAHU"..KATA MB KEDAH

Terlopong penulis ketika menonton Berita Perdana TV9 26.11.08 berkaitan sidang Media DS Uztaz Azizan di Wisma Darul Aman. Pengulas TV9, dengan penuh berhati-hati memulakan ulasan "kami bukan berniat jahat dengan Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Kedah, tetapi inilah yang kami perolehi semasa Sidang Media tersebut". Bertambah lah lopong penulis apabila, soalan yang diajukan kepada Menteri Besar Kedah berkenaan dengan Fatwa Yoga dijawab oleh Menteri Besar bahawa beliau tidak tahu berkenaan itu. Menteri Besar berkata lagi "Mufti Kedah kan ada, biarlah dia tengok perkara itu. Saya banyak lagi perkara yang nak kena buat". Lebih kurang begitulah kata-kata Menteri Besar.
Mungkin ramai yang mengenali DS Uztaz Azizan yang beliau sekarang adalah Menteri Besar Kedah. Mendengar jawapan tersebut penulis berasa agak terkilan dan curiga. Pertama terkilan kerana Menteri Besar Kedah 'tidak tahu' isu semasa Fatwa Yoga. Kedua, terkilan kerana mungkinkah orang-orang kanan, kiri, atas, bawah disekeliling Menteri Besar, tidak mengupdate bosnya. Ketiga, terkilan adakah Majlis Agama Islam belum lagi bertindak selepas Fatwa Yoga di keluarkan sehingga Menteri Besar seolah-olah belum menerima lapuran berkenaan perkara tersebut. Keempat, terkilan jawapan ini akan menjadi Tajuk Panas dalam media arus perdana. Kelima, terkilan jawapan itu seharusnya tidak dikeluarkan oleh seorang Menteri Besar dan penulis mencadangkan semudah mudah jawapan yang boleh disebut ialah " Itu Majlis Agama Islam akan mengkaji dan saya akan menjawabnya kemudian" atau " saya telah meminta MAIK mengkaji dan membuat lapuran. Saya akan ulas selepas melihat lapuran tersebut".. Atau yang lebih ringkas lagi " Perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat, terima kasih".
Sebenarnya jawapan Uztaz Azizan itu tidak ada salahnya. Mungkin benar-benar beliau tidak tahu perkara tersebut. Maka terlihatlah keikhlasannya. Pun begitu, apa pula pandangan Rakyat Kedah yang sempat menonton peristiwa itu? Bagi penulis, sudah tentu terlintas dalam otak rakyat," La jawab macam tu ka. Ish tak logik MB tak tau. Kalau macam tu pun aku boleh jawab!". Pandangan rakyat inilah yang menjadikan 'isu itu bermasalah' dan bukan Fatwa Yoga.
Penulis telah menjelaskan rasa terkilannya, tetapi penulis juga merasa curiga perkara ini. Pertama, curiga kenapa 'pengulas TV9' perlu hendak 'mengayat' dengan kata-kata "kami bukan berniat jahat kepada Menteri Besar Kedah dan kerajaan Negeri Kedah"?. Bukankah jika penerbit sudah tahu, tidak ada isi dalam rakaman sidang media tersebut, maka ianya tidak perlu disiarkan?. Kedua, curiga dengan nawaitu penerbit Berita Perdana TV9, kerana tetap menyiarkan rakaman tersebut pada 'scene' Menteri Besar menjawab soalan Fatwa Yoga dan tidak yang lain-lainnya. Ketiga, curiga ujud niat jahat untuk menembak kerajaan negeri kedah dan pada waktu yang sama bimbang tindakbalas Kerajaan Negeri Kedah yang akan menyukarkan TV9 bertapak di Kanchut Alor Star.
Selepas Kerajaan Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan Negeri Kedah, rakyat bukan hanya meneropong kepada pelan-pelan pembangunan kerajaan negeri Kedah atau mengikuti apa-apa perubahan yang dibuat oleh kerajaan negeri, bahkan RAKYAT MENGIKUTI SETIAP APA YANG DITUTURKAN OLEH PEMIMPIN KERAJAAN NEGERI HINGGALAH KE PERINGKAT APA YANG PEMIMPIN KERAJAAN NEGERI BUAT.

No comments: