Tuesday, November 25, 2008

NASIB KAKITANGAN KONTRAK PIHAK BERKUASA TEMPATAN KEDAH

Written by: aloQstaQ

Saya tidak mengerahkan segala idea untuk memikirkan apa nasib kakitangan kontrak di Pihak Berkuasa Tempatan. Memerah otak hanya kerana pekerja kontrak bukan mendapat apa - apa untung kepada diri saya. Tetapi atas perasaan Muslim, saya tidak tergamak untuk mendiamkan diri kerana masih ada saudara muslim saya yang mungkin teraniaya, dianiayai dan menganiayai saudara muslim yang lain. Tindakan tidak memerah otak ini, yang paling selamat dan tidak memeningkan kepala. Mencongak kepada nasib kakitangan kontrak yang bertalu-talu dan terkena juga anginnya kepada rakan saya, maka saya mula memerah otak untuk membangkitkan masalah mereka. Apatah lagi PBT Kedah ini terdiri dari pentadbir-pentadbirnya yang juja Muslim dan Melayu, maka adalah perlu untuk kita menyedarkan mereka sebagai muslim.
Jika kakitangan awam di agensi kerajaan persekutuan dan negeri di bawah payung CUEPEC, mereka amat bernasib baik kerana nasib mereka terbela dengan kelantangan Presiden CUEPEC mempertahankan mereka. Presidennya Omar Osman berkata, "Pendirian CUEPACS dalam perkara ini adalah jelas kerana kami yakin kerajaan masih mampu mengekalkan perkhidmatan mereka.

"Seramai 50,000 kakitangan kontrak di Malaysia sekarang di mana perkhidmatan mereka disambungkan dari setahun ke setahun," katanya pada persidangan media di sebuah hotel semasa beliau menyertai forum bertajuk Career of Laboratory Sciences Personnels pada Persidangan Kebangsaan Sains Makmal Perubatan Kali Ke-2 anjuran Persatuan Sains Makmal Perubatan Universiti Sains Malaysia (AMeLS).

Maka 50,000 kakitangan kontrak ini boleh bernafas lega untuk kelangsungan hidup yang kian menekan. Dapat meneruskan menyara anak dan isteri, pembelajaran anak dan sebagainya walaupun mereka tidak menikmati faedah-faedah sepertimana pekerja tetap. Saya amat terkejut apabila masih ada kekitangan kontrak yang diberhentikan tanpa sebab atau sengaja mengada-ngadakan sebab untuk menyebabkan kontrak kakitangan ditamatkan! Saya tidak dapat menyertakan perangkaan ini, tetapi saya yakin berlaku di sesetengah PBT Kedah. Apakah nasib-nasib malang yang menimpa kakitangan kontrak PBT? Untuk menjelaskannya, saya catatkan beberapa peristiwa keluh kesah hasil perbualan dengan rakan-rakan di PBT yang sempat saya dengar;
1. MPSPK - 'saya kakitangan kontrak sokongan. Tempoh kontrak perkhidmatan saya adalah selama 2 tahun. Selepas tamat tempoh 2 tahun, saya telah di sambung kontrak selama 2 tahun lagi. Pada sambungan kontrak kedua, saya hanya menerima surat tawaran sahaja dan tidak menerima perjanjian yang sepatutnya saya tandatangani seperti kali pertama. Gaji saya pada setiap tahun dinaikkan seperti biasa. Selepas tamat tempoh kontrak 2 tahun kali kedua, saya telah meminta supaya kontrak saya disambung lagi. Permohonan ini saya susulkan kepada YDP 6 bulan lebih awal. Sehingga hari terakhir kontrak saya tamat, saya tidak menerima sebarang surat perlantikan apatah lagi perjanjian. Yang menghairankan perjanjian kontrak kedua pun masih tidak bertandatangan. Sungguhpun demikian, saya menerima surat untuk hadir mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Tetap Pentadbiran pada minggu pertama selepas kontrak saya tamat! Maka pada bulan tersebut saya menghadiri sebarang mesyuarat MPSP, mesyuarat luar dan aktiviti MPSPK seperti biasa. Bahkan saya juga terlibat dalam urusan jawatankuasa buka sebutharga! Nasib saya amat malang, kerana gaji saya tidak dinaikkan dengan alasan surat lanjutan kontrak belum ditandangani oleh pengurusan. Lebih malang lagi, ganjaran 17.5% yang sepatutnya dibayar kepada kakitangan kontrak seperti saya ini, tidak dibayar dengan alasan YDP sebagai Pegawai pengawal mempunyai kuasa untuk tidak membayar atau menarik balik kemudahan tersebut. Sehingga kontrak saya hampir tamat kali keempat, gaji saya masih tidak dinaikkan selama 2 tahun. Malang saya bertambah lagi, apabila ada jawatan tetap yang kosong tetapi pentadbiran masih tidak mengisi jawatan tersebut kepada kakitangan kontrak. Lebih menjelikkan, apa yang sepatutnya saya dapat seperti kenaikan gaji dan ganjaran, dengan sesuka hati ditarik balik dengan menggunakan klusa-klausa Panduan Perlantikan Kontrak mengikut pemahaman mereka sahaja. Prestasi SKT saya selama 6 tahun berturut-turut tidak kurang dari 80%, hanyalah seperti data yang tidak berguna dalam penilaian mereka. Amat pelik sistem PBT ini, apabila boleh dilakukan mengikut kehendak YDP dan pentadbiran sahaja, tanpa meneliti kesilapan itu adalah berlaku oleh mereka sendiri tetapi bahananya dapat kepada kakitangan kontrak.
2. MBAS - Kes ini hampir sama dengan kes diatas. Saya kakitangan kontrak sokongan sudah selama 6 tahun. Pada kali pertama menjejakkan kaki di MBAS, saya tidak tahu langsung apakah kemudahan yang sepatutnya saya terima. Saya ditawarkan dengan gaji P1T1, sebagai orang tidak faham sistem PBT, saya terima dengan hati penuh bangga. Kontrak pertama selama 3 tahun, saya menerima kenaikan gaji pada setiap tahun. Selepas tamat 3 tahun, saya di sambung kontrak selama 3 tahun lagi dan menerima ganjaran 17.5% dan bonus mengikut gaji semasa. Pada kontrak yang kedua, nasib malang mula menimpa...Saya menerima penyambungan kontrak selama 3 tahun lagi menerusi surat tawaran sahaja. Perjanjian untuk tempoh kedua sehingga sekarang tidak diterima oleh saya. Malangnya apabila diminta dari pentadbiran, mereka menyatakan 'sudah di taip dan hanya nak print sahaja', hinggalah tempoh kontrak saya sudah hampir tamat. Tahun pertama dan kedua, saya menerima kenaikan gaji tahunan seperti biasa. Pada tahun ketiga, saya tidak dinaikkan gaji dengan alasan 'setiausaha' tidak membenarkannya. lebih malang lagi, keputusan untuk tidak menaikkan gaji ini, dibuat ikut kehendak tanpa kelulusan dalam mana-mana Jawatankuasa Tetap atau Majlis Penuh. Selepas tamat kontrak tempoh kedua, permohonan saya 6 bulan lebih awal untuk sambung kontrak, diluluskan tanpa surat. Ini kerana saya tidak menerima surat penamatan kontrak. Sebaliknya saya menerima surat panggilan mesyuarat sama ada mesyuarat pengurusan, mewakili ketua bahagian ke mesyuarat Jawatankuasa tetap atau menyuarat luaran dengan kerajaan negeri yang ditandatangai oleh datuk bandar atau setiausaha atau Penolong Setiausaha. Maka saya meneruskan tugas-tugas harian seperti biasa, dan menerima gaji tiap-tiap bulan mengikut tanggagaji lama.
Saya bernasib baik kerana pada tahun tersebut, MBAS akan mengharungi Audit Sirim ISO9000. Berikutan itu, saya mendapat tahu surat tawaran perlanjutan kontrak saya telah ditandatangani oleh Setiausaha, tetapi tidak diserahkan kepada saya!. Sebaliknya disimpan didalam fail peribadi sahaja. Maka dalam surat tersebut sudah tentu tidak mempunyai tandatangan penerimaan oleh saya!. Pelik tetapi benar, surat tawaran ini hanya semata-mata untuk melindungi kesilapan dan kebodohan mereka semata-mata kerana hendak mempertahankan kelemahan mereka. Pada tahun-tahun berikutnya, ianya seperti sudah menjadi amalan 'korup' apabila Panduan Perlanjutan Kontrak tidak digunakan dengan seadil-adilnya kepada kakitangan kontrak.
Lebih mengaibkan apabila MBAS telah mendapat waran perjawatan sebanyak lebih 400 jawatan sejak tahun 2004, tetapi tidak diisi sehingga tahun 2007 semata-mata dengan alasan 'Majlis tidak mempunyai duit'. Bahkan sehingga sekarang saya masih berjawatan kontrak dengan gaji yang tidak naik. Bayaran bonus mengikut gaji semasa dan saya yakin sepatutnya tanggagaji saya telah terkurang sebanyak 4 kenaikan. Pelarasan gaji yang yang diumumkan oleh kerajaan tidak memberi apa-apa makna kepada saya kerana pelarasan itu hanya berdasarkan kepada gaji semasa yang tidak dinaikkan. Saya amat kecewa kerana pentadbiran tidak mempertahankan hak saya dan beratus-ratus lagi kakitangan kontrak. Bahkan ANULAE yang sepatutnya memperjuangkan hak kami sebagai ahli, hilang dengan propaganda Lawatan Sambil Belajar ke Hatyai, Ke Medan, Ke Bangkok, Ke Batam dan entah apa-apa lagi. Berdasarkan kepada pekeliling JPA dan keterangan yang diberi oleh JPA, bahawa kami berhak menerima kenaikan gaji dan ganjaran. Kami menyimpulkan MBAS telah menganaktirikan kami dan menyalahgunakan kuasa yang ada, sehinggalah perkara ini dibetulkan oleh pengurusan.
3. MBAS - Saya telah berkhidmat dengan MBAS selama lebih 20 tahun secara kontrak. Pada tahun 2007, saya dituduh mencuri barang milik penyewa di komplek MBAS. Tanpa penyiasatan teliti, saya dihukum 'dinasihatkan tidak melapor diri' pada 1.1.2007 sehingga siasatan yang dijalankan selesai, menerusi sepucuk surat yang dibuat oleh bukan Bahagian Urusetia. Hukuman ini bukan hanya kepada saya tetapi kepada 2 rakan saya yang berkhidmat selama lebih 8 tahun dan lebih 15 tahun. Selama 20 tahun saya dan rakan-rakan berkhidmat dengan MBAS tanpa melakukan kesalahan apatah lagi tindakan tatatertib, tetapi jasa kami hanya seperti melukut ditepi gantang. Hanya disebabkan 'tuduhan' yang langsung tidak berasas, akhirnya menyebabkan nasib malang menimpa 3 keluarga (saya dan 2 rakan). Bahkan bukan sahaja kami yang teraniaya tetapi isteri dan anak-anak saya. Selama saya berkhidmat dibawah beberapa orang YDP, Setiausaha dan beberapa orang ketua bahagian, saya mempunyai reputasi kerja yang baik walau dalam keadaan MBAS susah atau senang. Tetapi dengan ketua bahagian dan ketua unit terakhir ini, banyak penyalahgunaan kuasa yang kami ketahui, hinggakan mereka takut pada bayang-bayang sendiri. Walaupun jawatan tetap telah ada sejak tahun 2004 lagi, saya tidak mendapat faedah daripadanya. Amat mengecewakan, pengurusan hanya mendengar sebelah pihak tanpa mahu mendengar penjelasan dari kami terlebih dahulu!. Tindakan pengurusan ini menyebabkan kami dan keluarga dianayai oleh ketua saya yang licik dalam mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan. Saya tidak diberi peluang untuk mempertahankan diri secara terhormat mengikut platfom pengurusan. Oleh kerana pentadbiran dan pengurusan tidak memberi ruang kepada kami, sebaliknya mempertahankan ketua saya yang belum tentu benar, maka kami akan memepertahankan maruah saya dan keluarga dengan cara yang adil. Saya menuntut MBAS di bawah pengurusan yang baru supaya lebih prihatin dalam membuat keputusan, supaya tidak berlaku penganiayaan kepada kakitangan kontrak seperti kami.
Ini adalah beberapa kes yang dirasakan perlu di teliti oleh pihak PBT sendiri dan persatuan-persatuan pekerja yang terlibat. Dengan keadaan tekanan kos hidup yang tinggi, keadaan ekonomi pekerja yang tertekan, maka PBT dan persatuan seperti ANULAE MBAS dan MPSPK perlu menggarap keadilan hak kakitangan kontrak. Biarlah PBT Kedah dihormati bukan hanya oleh rakyat diluar sana sahaja, tetapi disayangi oleh pekerja-pekerja tetap, kontrak atau sambilan. Saya amat yakin, bukan hanya kes sebegini yang berlaku tetapi mungkin juga ujud kes yang lebih xtream yang tidak masuk akal. Yang mengetahui nasib kakitangan kontrak hanyalah Pengurusan dan pekerja itu sendiri selain Tuhan Yang Maha Esa. Dalam hal sebegini, kakitangan kontrak perlulah bersatu dan sepakat untuk memperjuangkan nasib mereka, jika mereka tidak mendapat pembelaan yang sepatutnya. Sebagai muslim, haruslah merenung sejenak, apakah hukumnya dari sisi agama islam membuat tuduhan yang belum tentu soheh dan menidakkan hak orang lain yang sepatutnya diterima mereka? Apakah pula hukumnya, jika kita menutup hak orang lain yang sebenarnya berhak keatas rezekinya yang halal? Seluruh kakitangan MBAS dan MPSPK tidak kira pekerja bawahan, ketua jabatan hinggalah setiausaha dan YDP/Datuk Bandar, anda adalah 'pekerja' sesama anda yang bekerja untuk mencari rezeki yang halal untuk menyara hidup anak dan isteri. Maka janganlah kita menganiayai atau menidakkan hak orang lain, jika anda sendiri tidak mahu penganiayaan itu berlaku kepada anda dan anak-anak anda sendiri. Fikirkanlah kerana tindakan anda untuk mendapat keredhaan Allah swt...

2 comments:

lion said...

Sebenarnya 4 orang juruteknik Kompleks MBAS yang kena buang gara-gara Chargeman Laknat. Sedarlah wahai Chargeman Laknat segala amalanmu nanti di hari kiamat akan diminta oleh orang teraniaya olehmu. Kamu telah menyebabkan anak-anak dan isteri orang makan nasi tak berlauk dan menyebabkan suami kerja kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

S0Lse7en said...

Senasib mcm saya tuan... anaya sungguh.... sedih kenang nasib anak2 yg masih kecil...