Bila meneliti Sinar Harian 20.11.08, perasaan penulis serba salah. Dalam artikel Zahid bidas RPK tersebut, Dr Zahid Hamidi dilaporkan bertanya, "... berapa kali dia sembahyang Jumaat selama ini.". Ini susulan dari tindakan RPK membuat laporan polis kerana semasa di tahan ISA di Kem Kemunting, beliau tidak dibenarkan solat Jumaat.
Ramai dari kita mungkin tidak suka kepada Raja Petra yang menulis pelbagai pendapat mengenai Islam yang telah menaikkan kemarahan kita. Tentu sekali perbuatan RPK sebagai orang islam tidak patut berbuat demikian. Apatah lagi sokongan kepada RPK adalah dari golongan yang rata-ratanya dari bukan islam kerana penulisan beliau terhadap islam. Sudah tentu sesiapa sahaja yang pernah mengenali RPK dalam cara hidupnya, akan menolak mentah-mentah persoalan beliau berkaitan solat Jumaat di Kem Kemunting. Tidak keterlaluan, mungkin ada yang mengatakan, RPK tidak layak untuk mempersoalkan hal tersebut. Walaupun begitu, setinggi mana rasa benci dengan pandangan dan cara hidupnya, sudah pasti kita tidak berhak untuk mempersoalkan iman dan keislamannya. Persoalan yang boleh kita bangkitkan adalah dalam skop-skop tertentu tetapi bukan soal keimanannya. Mempersoal keimanan seseorang adalah urusan Allah swt dan bukan hak manusia. Tetapi sebaliknya hak manusia itu adalah Menegur kepada saudara islamnya, bagi yang berkuasa sama ada secara kata-kata dan perbuatan dan selemah-lemahnya dengan hati.
Mungkin RPK mempunyai motif yang lain apabila beliau membuat aduan polis berkaitan solat Jumaat kepada tahanan ISA. Jika RPK berniat untuk mempolitikkan Solat Jumaat itu sendiri, penulis merasakan RPK sudah menyimpang jauh sebagai melayu islam dan perlu ditentang. Tindakan Dr Zahid mungkin amat keras dengan mempersoalkan berapa kali RPK solat Jumaat. Sebagai menteri agama, beliau tidak wajar berbuat demikian sebaliknya menegur dengan lebih berhemah. Tetapi jika niatnya menegur saudara muslimnya sebagai orang yang berkuasa bagi menyedarkan RPK,maka ia adalah satu kewajaran bagi beliau. Bagi penulis, Solat Jumaat itu wajib kepada setiap orang lelaki islam dan mewajarkan Menteri Dalam Negeri mengkaji perkara tersebut kepada tahanan islam di Kem Kemunting. Janganlah pertembungan islam dengan islam, akan memudaratkan islam itu sendiri. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment