Thursday, November 27, 2008

JANGAN HARAP PAS AKAN DAPAT DENGAN MUDAH

Politik di Selangor amat berbeza sangat dengan negeri-negeri lain. Di Kedah PAS menguasinya, DAP dan PKR menumpang tuah. Di Pulau Pinang DAP menguasainya, PAS dan PKR menumpang Tuah. Di Perak, DAP dan PKR menguasainya, PAS menumpang tuah. Di Selangor PKR menguasainya, PAS dan DAP menumpang tuah. Maka jika diteliti keadaan ini, setiap kerajaan negeri yang dibentuk itu, saling perlu memerlukan dan jika berlaku 'reformasi melompat pasti', salah satu kerajaan akan telungkup. Yang sama antara kerajaan- kerajaan negeri ini ialah, rata-rata ADUN kaum cina lebih ramai dari kaum Melayu dan India kecuali di Kedah. Di Perak dan Selangor, sungguhpun PKR ada wakilnya dalam kerajaan negeri, tetapi mereka mewakili kaum cina juga. Di Penang pula tak payah nak cerita, jelas kaum cina. Kecuali di Kedah wakil Melayu lebih ramai.
Maka jika Sdr Ezam mencadangkan PAS menjadi Ketua Negeri Selangor, jawapannya 'Jangan haraplah!". Mana nak taruk muka ketua whip pembangkang, DS Anwar Ibrahim, yang diagung-agungkan olehnya dahulu!. Menangis keluar airmata darah pun, PKR takkan bagi kepada PAS lebih-lebih lagi yang mencadangkannya Sdr Ezam sahabat karib Sdr Azmin. Penulis membayangkan Sdr Ezam masih belum diuji betul-betul kesetiaannya kepada UMNO. Maka bila mengemukakan pandangan, biarlah cadangan itu yang boleh diterima akal oleh orang yang berakal baligh. Penulis cadangkan Sdr Ezam memikirkan bagaimana untuk menghapuskan Politik Wang dalam UMNO kerana dulunya beliau aktivis NGO anti-rasuah. Mungkin inilah pengajaran kepada orang melayu yang mementingkan kepartian daripada perpaduan melayu.


Ezam cadang Pas terajui pentadbiran Selangor

SHAH ALAM 26 Nov. - Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Nor mencadangkan pemimpin Pas mengambil alih pemerintahan Selangor bagi mengembalikan keseimbangan politik dan kedudukan tidak menentu bangsa Melayu.
Beliau berkata, cadangan tersebut dilihat lebih rasional ekoran beberapa kontroversi berlaku di negeri itu yang berpunca daripada keputusan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sepanjang lapan bulan lalu di bawah pimpinan PKR.
Sambil memberikan contoh isu kuota Universiti Teknologi Mara (UiTM), kontroversi pelantikan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan ancaman demonstrasi bogel oleh Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), jelas menunjukkan bukti bahawa PKR gagal mentadbir negeri itu dengan baik.
"PKR gagal untuk mentadbir negeri ini. Oleh itu, tugas Menteri Besar seharusnya diserahkan kepada pemimpin parti komponen lain dalam pakatan pembangkang.
"Dalam hal ini, saya merasakan pemimpin Pas lebih layak memikul tanggungjawab itu dengan mengadakan pilihan raya negeri.
"Untuk itu, ia boleh diserahkan kepada rakyat Selangor untuk menentukannya dalam pilihan raya negeri dengan segera sebelum keadaan menjadi lebih tidak stabil," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Mohamad Ezam, kepimpinan Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu terus diragui sehingga timbul cadangan supaya jawatan beliau ketika ini digantikan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali.
Katanya, cadangan yang tersebar dalam laman blog ketika ini merupakan petanda mungkin ada sesuatu yang tidak kena pada pentadbiran Abdul Khalid sehingga beliau perlu digantikan dengan orang lain.
"Dalam aspek lain, situasi ini seolah-olah menunjukkan pemimpin PKR hanya mementingkan kedudukan politik dan kuasa peribadi daripada memikirkan suasana tidak menentu dalam negeri yang ditadbir oleh mereka.
"Keadaan itu perlu dipulihkan segera dan peranan pemimpin Pas Selangor yang berpengalaman diperlukan untuk menjayakan misi ini walaupun parti itu mempunyai bilangan kerusi lebih kecil berbanding PKR dan DAP," katanya.

No comments: