Wednesday, November 26, 2008

MENGAPA HARGA MINYAK BELUM SETTLE? MENGAPA HARGA BARANG TIDAK SETTLE?

Sejak harga minyak dinaikkan hinggalah harga minyak diturunkan, rakyat telah didedahkan dengan terlalu banyak alasan yang memeningkan kepala. Semasa menaikkan harga minyak, rakyat dimomokkan dengan alasan keperluan menaikkan harga kerana kerajaan tidak mampu untuk membelanjakan wang rakyat semata untuk menampung subsidi yang tinggi.



Dengan terhinggut-hinggut menurunkan harga minyak iaitu 10 sen dan 15 sen setiap kali penurunan, berbanding dengan kenaikan yang mendadak 80 sen sekaligus, penulis merasakan sudah tiba masanya, kerajaan menerusi Datuk Shahrir mendedahkan secara telus kepada rakyat, bagaimanakah isu minyak ini ditangani?. Lebih dari itu, KERAJAAN juga perlu berterus terang kepada RAKYAT, bagaimanakah kerajaan menangani untuk menurunkan Harga Barangan dan Perkhidmatan!. Baru-baru ini Datuk Shahrir menyatakan Majlis Ekonomi Negara sedang meneliti untuk membuat ketetapan, kaedah sama ada menggunakan harga lantai atau pengapungan harga apabila harga minyak dunia merudum keparas dibawah USD50.00. Semasa menaikkan harga minyak kepada RM2.70, Datuk Shahrir hanya menjelaskan, Kerajaan bersetuju untuk menaikkan harga minyak. Mengikut pemahaman penulis, Sistem Mentadbir Harga Minyak Negara seperti tidak dilakukan dengan terperinci dan tertib. Persoalannya, apakah setelah hampir 8 bulan, kerajaan tidak mengkaji Kaedah yang wajar digunakan apabila harga minyak terlalu tinggi melambung dan/atau jika terlalu rendah menjunam? Mengapa baru sekarang kerajaan hendak mencari jalan kaedah pengawalan harga minyak?



Lebih mencurigakan capability dan kredibiliti KPDNHEP adalah, apabila Datuk Shahrir sendiri berkata "Ini satu keadaan yang tak pernah dijangka, harga minyak mentah turun begitu hebat. Kita akan berbincang mengenai apa hala tuju yang akan diambil. Adakah kita nak satu kaedah harga lantai atau terus dengan keadaan sekarang, yang mana bila turun, kita turun." Aahh, memang memeningkan! Menteri boleh bertanya kepada rakyat yang sepatutnya rakyat yang perlu bertanya itu kepada menteri? Jika benar situasi ini yang berlaku, maka benarlah sangkaan penulis bahawa Makanisma dan Kaedah yang dicanangkan oleh KPDNHEP selama ini adalah tidak sehalus-halusnya atau mungkin tidak dilakukan kajian yang teliti. Sebab itulah kenaikan mendadak RM2.70 sen ini telah memberi kesan yang luar biasa kepada rakyat, dan kemungkinan KPDNHEP sendiri tidak mengetahui kesan tindakan tersebut. Bagi penulis, isu dan masalah nasional seperti ini, jika beginilah cara pengurusan pengawalannya, MAKA selama drama kenaikan harga minyak ini, ianya adalah penganiayaan kepada rakyat. Ini kerana, pada awal dahulu rakyat telah membantah kenaikan yang mendadak dengan ramai orang menyuarakan supaya harga minyak dinaikkan sedikit-sedikit, tetapi kerajaan tetap dengan dasar kenaikan drastik, maka rakyat dengan berat hati menerimanya.



Andaian yang mudah bagi Rakyat sama seperti penulis, sebelum menaikkan harga RM2.70 secara mendadak ini, sudah pastilah KPDNHEP telah membuat KAJIAN YANG SEHALUS-HALUSNYA dengan cendikiawan dan pakar-pakar ekonomi pelbagai bidang, sebelum memutuskan kenaikkan tersebut. Walau bagaimana pun Keujudan pasukan kajian ini juga masih menjadi tandatanya kerana penulis merasakan banyak KEKURANGAN semasa harga minyak dinaikkan. Semua ini berpunca dengan persoalan 'mengapa sehingga hari ini, kerajaan masih tercari-cari Kaedah / Makanisma mengawal harga minyak? Mungkin ada alasan baru yang boleh diberikan oleh KPDNHEP kepada rakyat seperti 'kajian yang dijalankan ini adalah usaha penambahbaikan kepada kajian terdahulu!'. Tetapi harus diingat bahawa alasan sebegitu dilihat hanya bertujuan menutupi ruang-ruang kelemahan KPDNHEP setelah gagal MENGENALPASTI KAEDAH PENGAWALAN HARGA MINYAK LEBIH AWAL. Tindakan-tindakan yang diambil kini, adalah lebih kepada usaha Mengubati daripada usaha Mencegah. Kajian penetapan harga lantai atau pengapungan harga yang akan diumumkan Isnin depan, mungkin akan ada kelemahan yang lain apabila tidak diperhalusi sebelum mengumumkan kepada rakyat.



Dalam tercari-cari kaedah penetapan harga minyak, pada masa yang sama harga barangan dan perkhidmatan semakin tidak terkawal. Penulis menegaskan KPDNHEP telah hilang kawalan dalam mengurus dan menyelaras Makanisma/Kaedah Pengawalan harga Barangan dan Perkhidmatan juga. KPDNHEP sepatutnya telah mengambil langkah perlu keatas kelemahan di bawah Akta Kawalan Harga 1946. Dalam Akta ini kerajaan hanya boleh mengambil tindakan kepada peniaga yang menjual barangan kawalan melebihi harga siling yang ditetapkan atau tidak meletakkan tanda harga bagi barangan yang dijual. Akta ini perlu ditambahbaik supaya kerajaan boleh mengambil tindakan kepada peniaga yang menjual SEBARANG BARANGAN DAN PERKHIDMATAN melebihi harga yang ditetapkan sama ada barangan tersebut dikawal ataupun tidak. Sewajibnya Datuk Shahrir telah memperkemas akta ini sejak menjawat potfolio Menteri KPDNHEP dan mungkin boleh dibentangkan dalam Persidangan Parlimen hari ini. Selain dari itu, Penggubalan Dasar Amalan Perdagangan Adil (DAPA) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hendaklah dipercepatkan diselesaikan. Akta dan DAPA ini apabila telah diperkemaskan, maka Pengawalan Harga Barangan dan Perkhidmatan tidak dapat dilakukan sewenangnya. Tidak ujud lagi harga yang melampau dan tidak ujud lagi manusia peniaga yang degil. Apapun senario yang berlaku sekarang, penulis perlu menuding jari kepada KPDNHEP kerana kegagalan mengurus harga barangan. Hakikatnya alasan Datuk Shahrir, KPDNHEP tidak mempunyai kuasa dalam menurunkan harga kecuali barangan kawalan, adalah alasan untuk 'lari dari kelemahan'. Hakikatnya, akta - akta dan peruntukan undang-undang berkaitan harga barangan dan perkhidmatan di dalam negara telah ujud tetapi tidak dikaji untuk ditambahbaik.



Mungkin ianya belum terlambat untuk menambahbaik atau mengujudkan dasar Pengawalan Harga Barang dan Perkhidmatan, jika ianya dilakukan sekarang atau serentak dengan Kajian mencari kaedah menetapkan harga minyak!. Oleh kerana secara ekonomi mudah, bahawa turun naik harga minyak itu memberi kesan secara relatif keatas harga pasaran barang dan perkhidmatan, MAKA amat wajar KPDNHEP mengkaji, menambahbaik, melaksana dan menguatkuasa Akta Harga Barang dan DAPA serentak dengan Pengawalan Minyak. Jika kerajaan hendakkan rakyat mematuhi dasar kerajaan, begitulah juga rakyat mahukan kerajaan Realistik dalam membuat dasar.

No comments: