Sunday, November 2, 2008

NAIK HARGA MINTA TOLONG MENTERI, TURUN HARGA MINTA TOLONG RAKYAT

Bila membaca ulasan Datuk Seri Abdullah mengenai harga barang yang tidak turun dalam Utusan Malaysia 1 NOV 2008, rasanya macam nak meraung dan menjerit-jerit di depan Pintu Seri Perdana atau pun paling lekeh pun nak meraung-raung macam orang isin depan rumah Datuk Shahrir Samad.
Pak Lah berkata 'bila harga di Pasaraya Besar murah (merujuk kepada Giant dan Tesco) rakyat tentu akan beli di Tesco dan Giant dan tidak membeli di luar yang harganya mahal'. Ini idea Pak Lah atau Datuk Shahrir? Boleh kah Pak Malau di Baling, Makcik Kiah di Tanjung Karang, Hj Samaun di Grik, pak Man di Jengka 13, Salamah di Sembrong nak pergi Giant dan Tesco semata nak beli barang asasi dimana pasaraya Giant dan TESCO hanya di bandar-bandar utama?
Apa yang dimegahkan dengan kerajaan BN, jika harga barang pun tidak boleh dikawal? Jika Datuk Shahrir bermegah dengan kejayaannya menurunkan harga barang di Giant, Tesco hatta pasaraya besar di seluruh negara yang lokasinya di tengah pekan/bandar besar, Datuk Shahrir dan Pak Lah bolehlah laung dan jerit kuat-kuat dalam Dewan Parliman - 'Kamilah pemimpin prihatin' membela RAKYAT yang menderita di luar bandar.
Rakyat nak tengok dan dengar 'apa pula tindakbalas rakyat'! Sewajibnya, Pak Lah dan Pak Shahrir 'Telah Mempunyai Makanisma', bagaimana untuk mengawal menurunkan harga barang dan perkhidmatan yang telah naik akibat harga minyak naik tempohari. Kerajaan dilihat hilang kawalan dalam mengawal harga barangan keperluan, terutama di luar bandar. Kelewatan bertindak dalam menurunkan harga barangan, hanya akan mengundang kepada kadar inflasi semakin tinggi. Yang sedih, Pak Lah minta rakyat tolong terutama persatuan pengguna, bersama-sama untuk memastikan harga barang diturunkan oleh peniaga. Semasa nak naikkan harga minyak, barangan dan perkhidmatan adakah Pak Lah dan Datuk Shahrir minta tolong rakyat untuk mengawalnya. Rasanya keputusan menaikkan barangan dan perkhidmatan dahulu, hanya dibuat oleh mereka yang saling tolong-menolong dan rakyat tidak dilibatkan...Memang bernas otak Menteri ini dan Perdana Menteri berdasarkan langkah ini, tetapi dengan syarat Datuk Shahrir dan Pak Lah kena 'pastikan' Giant, TESCO dan lain-lain pasaraya besar ini membuka cawangannya di seluruh pekan dan daerah kecil seluruh negara.

Kerjasama rakyat pastikan harga barang turun


Oleh JAMDI NASIR dan ZULHISHAM ISHAK
Abdullah Ahmad Badawi merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-23 di Kota Kinabalu, semalam.

KOTA KINABALU 1 Nov. - Kerajaan memerlukan kerjasama rakyat dan persatuan pengguna dalam usaha memastikan peniaga menurunkan harga barang keperluan berikutan harga petrol dan diesel yang semakin rendah, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, tindakan serta merta yang boleh dilakukan oleh rakyat ialah dengan memilih kedai menjual harga rendah untuk mendapatkan barangan keperluan harian mereka termasuk di pasar raya yang telah bersetuju menurunkan harga barangan.

Beliau menegaskan, pada masa ini kerajaan telah berjaya mendapatkan persetujuan beberapa pemilik pasar raya besar bagi menurunkan harga barang makanan dan ia sepatutnya diikut oleh kedai-kedai runcit.

''Kerajaan perlu mendapat kerjasama rakyat terutama persatuan pengguna, ini adalah penting sebab bila harga minyak rendah, tidak ada sebab mengapa harga barang masih seperti waktu harga minyak tinggi.

''Peniaga perlu mengambil tindakan mengurangkan harga barang, kalau tidak mendadak, boleh secara beransur-ansur," katanya kepada pemberita selepas merasmi Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-23 di sini hari ini.

Perdana Menteri menjelaskan, tindakan kerajaan mengadakan persetujuan dengan pasar raya besar untuk menurunkan harga barang bertujuan untuk membuktikan bahawa harga sesuatu barangan itu boleh dikurangkan pada masa ini.
Beliau berkata, langkah itu juga bagi memberi peluang kepada rakyat membuat pilihan segera dengan mengunjungi pasar raya terbabit mendapatkan barangan pada harga lebih rendah.
''Bila harga di pasar besar rendah, tentu rakyat mahu ke pasar besar ini berbanding kedai di luar, rakyat tidak akan pergi (kedai menjual harga tinggi) kerana tidak lagi menjadi pilihan mereka.
''Pilihan rakyat adalah beli barang di kedai harga jual murah, kita berharap pihak peniaga lain dapat memahami bahawa rakyat yang mahukan harga barang turun," katanya
.

Beliau memberitahu, bagi harga barang-barang kawalan, ia tidak akan berubah kerana parasnya adalah mengikut keadaan pasaran semasa.
Ditanya, sekiranya harga minyak terus jatuh adakah kerajaan akan menetapkan satu kadar minimum bagi jualan runcit petrol dan diesel, Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu mengkaji terlebih dahulu sebelum sesuatu tindakan boleh dilaksanakan.

Sementara itu, Abdullah berkata, projek pembinaan saluran paip gas dari Kimanis ke Bintulu, Sarawak akan tetap diteruskan.
Menurutnya, projek tersebut bagaimanapun akan dipastikan tidak menjejaskan operasi loji janakuasa gas di Kimanis bagi membekalkan elektrik di Sabah.
Beliau berkata, Sabah juga akan tetap mendapat royalti gas meskipun sebahagian daripadanya disalurkan ke Bintulu.

"Sabah akan tetap menikmati royalti gas, apa yang kita ambil dari Sabah, Sabah akan nikmati (hasilnya), dakwaan negeri ini tidak menerima royalti adalah tidak betul," katanya.
Abdullah mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok, baru-baru ini yang meminta Petronas menghentikan kerja-kerja membina paip gas dari Kimanis ke Bintulu.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, projek tersebut tidak boleh dihentikan dan pada masa yang sama sebuah stesen janakuasa gas memerlukan bekalan untuk kegunaan Sabah.

No comments: